Pertandingan golf perkenal institusi adat Naaning
Undang Naning menyampaikan hadiah kepada Balakhrisnan
AYER KEROH - Pertandingan Golf Piala Pusingan Sumbangan YAM Datuk Undang Wilayah Naning diadakan buat julung-julung kalinya di Melaka sebagai memperkenalkan institusi adat Naning yang kini kian dilupakan.

Pegawai Khas kepada Undang Naning, Datuk Irwan Mohd Nor berkata, kejohanan yang diadakan di Kelab Golf Tiara di sini menampilkan 100 penyertaan dan ternyata mendapat sambutan.
Menurutnya, kejohanan demikian bakal dijadikan sebagai acara tahunan institusi Naning bagi mendedahkan kepada masyarakat negeri ini terhadap kewujudan Undang Naning yang tetap kukuh sejak kurun ke-13 lagi.
Katanya, Undang Naning kini disandang oleh Datuk Abdul Latif Hashim dan beliau adalah Undang ke-19.
“Pertandingan ini bukan untuk mencari keuntungan malah kita menawarkan secara percuma setiap penyertaan dan ia lebih kepada membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap kewujudan institusi Naning yang tetap utuh.

“Sebelum ini generasi muda hanya mengenali Undang Naning, iaitu Datuk Dol Said sahaja tetapi undang selepas itu semakin dilupakan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, peserta dari Melaka, yang bermain di bawah handicap 10, S Balakhrisnan muncul juara sulung pertandingan itu dengan mengutip 38 mata dan membawa pulang piala pusingan berserta barangan kelengkapan golf.
Tempat kedua menjadi milik, peserta muda berusia 16 tahun, Muhammad Izzat Safuan manakala tempat ketiga diisi Ben Lim dengan masing-masing membawa pulang set peralatan golf.
Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan Undang Naning sendiri, Datuk Abdul Latif Hashim.
Majlis penyampaian hadiah turut diserikan lagi dengan kehadiran Kerabat Diraja Perak, Raja Nur Ainun Sultan Yusof.


















































by : D'angzheefatt