GERAKAN UNTUK MENENTANG

   GERAKAN menentang British di Melaka dilancarkan oleh Penghulu Dol Said Naning. Dol Said menjadi penghulu Naning ketika British mengorak langkah melebarkan sayap pengaruhnya di Tanah Melayu. Pada tahun 1786 tanpa mempedulikan syarat yang dikemukakan oleh Sultan Abdullah Kedah, British melalui Francis Light menduduki Pulau Pinang secara haram. Kemudiannya British mentadbir Melaka 1795-1818, yang diserahkan Belanda buat sementara melalui Surat Kew. Ketika menduduki Melaka, British mengakui bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka. Dalam usaha mengabsahkan pengakuannya ini British, diwakili oleh Leftenan Kolonel Aldwell Taylor menandatangani perjanjian dengan Naning, yang diwakili oleh Penghulu Dol Said dan Empat Suku pada tahun 1801.

   PERJANJIAN ini tidak langsung menyebut yang Naning sebahagian daripada Melaka. Tetapi Naning bersetuju dengan amalan yang dilakukan oleh penghulu sebelum ini menghantar satu persepuluh daripada hasil tahunan Naning ke Melaka sebagai tanda persahabatan. Tidak puas dengan ini, pada tahun 1807, Residen Konsularnya Kolonel Farquhar dengan megah mengisytiharkan yang Naning sebahagian daripada Melaka segala kes jenayah yang berlaku di Naning hendaklah diselesaikan di Melaka. Perisytiharan ini mencemar perjalanan hukum adat, Adat Perpatih di Naning. Keangkuhan British ini menyebabkan kegentingan hubungan antara Naning-Melaka. Pada tahun 1818, Belanda kembali semula ke Melaka dan mereka tidak mengganggui perjalanan pentadbiran Naning adalah sebahagian daripada Melaka. Malah dia menyarankan British melancarkan serangan ke atas Naning. Selain itu British juga menghantar Thomas Church ke Naning, memberi amaran kepada Penghulu Dol Said mematuhi arahan dari Melaka. Jika ingkar Penghulu akan dilucutkan jawatan. Juga sepasukan sepoi dihantar ke Naning untuk mengawasi siasatan dan bancian. Segala tindakan British ini mencabar Naning. Walaupun diberi tawaran istimewa, dan kalau ingkar Penghulu Dol Said akan dilucutkan jawatan, namun Penghulu Dol Said langsung tidak mengendahkan amaran ini.

   MALAH pada tahun 1828, beliau menyelesaikan kes jenayah di Naning. Tindakannya ini diberi amaran oleh British. Begitu juga Penghulu Dol Said tidak pernah mematuhi jemputan atau arahan Gabenor Robert Fullerton untuk menemuinya diMelaka. Penghulu Dol Said bertindak demikian kerana beliau berpendirian bahawa Naning sebuah negeri bebas dan tidak perlu mematuhi arahan British.

   KEENGGANAN Penghulu Dol Said ini dipandang berat oleh Gabenor Robert Fullerton. Beliau menganggap Penghulu Dol Said mengingkari arahannya. Dengan itu beliau mencadangkan agar dalam Majlis Mesyuarat yang bersidang di Pulau Pinang Inggeris menakluki Naning.Cadangan ini dibantah oleh Setiausaha Negeri Selat, Sir John Anderson dan Residen Konsul Melaka, Sir Samuel Garling. Majlis tidak merestui hasrat Gabenor Robert Fullerton. Pembatalan menyerang Naning ini disifatkan oleh Penghulu Dol Said dan penduduk Naning yang British tidak berani melancarkan serangan ke atas Naning.

   WALAUPUN begitu Gabenor Robert Fullerton terus menuntut kekuasaan Melaka ke atas Naning. Apabila Surin melaporkan pengikut Penghulu Dol Said merosakkan dusun buahbuahannya di Pancur,Melaka pada bulan Oktober 1831, Gabenor Robert Fullerton mengambil kesempatan ini memberi amaran kepada Penghulu Dol Said. Residen Konsul Melaka iaitu kediaman dan pusat pentadbiran Penghulu Dol Said serta memberi amaran dan mengancam pembesar yang enggan mematuhi arahan British diMelaka.

   SEMENTARA itu Penghulu Dol Said menghubungi negeri jiran Seri Menanti, Rembau, dan Sungai Ujong untuk mendapatkan bantuan. Dalam usaha mendapatkan bantuan Rembau, Penghulu Dol Said mengingati Yamtuan Ali supaya menghantar bantuan panglima mempertahankan Naning daripada serangan British. Sekiranya Naning diduduki oleh British, Rembau juga akan menerima nasib yang sama. Atas kebimbangan inilah Yamtuan Ali menghantar 500 orang di bawah pimpinan menantunya Syed Saban ke Naning. Yamtuan Ali juga menghantar Penghulu Remai dan Recat mengetuai angkatan Rembau membantu Penghulu Dol Said. Di samping itu Dato' Kelana Sungai Ujong, Penghulu Gemenceh, Penghulu Linggi, dan Pembesar Seri Menanti turut sama membantu Penghulu Dol Said. Bantuan ini jelas menggambarkan semangat kesatuan di kalangan bangsa Melayu untuk mempertahankan tanah air daripada diceroboh bangsa asing.

   DALAM usaha mengatasi kemaraan pasukan British, Penghulu Dol Said mengarahkan panglimanya bersiap sedia menunggu di jalan-jalan yang mungkin dilalui oleh pasukan British yang bersenjata. Mereka diarahkan melancarkan serangan sebaik sahaja angkatan British melintasi kawasan kawalan masingmasing.21
Pasukan British berlepas dari Melaka menuju keSungai Petai pada pukul 4.00 pagi, Sabtu 6 Ogos 1831. Sungai Petai dipilih kerana kedudukannya strategik berhampiran dengan Naning dan mudah berhubung dan menghantar bekalan. Semangat perjuangan yang berkobar di jiwa Penghulu Dol Said dan para pejuang, menyebabkan mereka menyerang angkatan British yang bergerak dari Melaka ke Sungai Petai. Pengikut Penghulu Dol Said menggunakan serangan hendap serta melarikan diri setelah serangan dilancarkan. Selain itu jalan yang mungkin dilalui oleh pasukan British dihalang berhubung dengan markas mereka di Sungai Petai. Manakala markas Sungai Petai telah pun lama terputus hubungan dengan Melaka. Menyedari masalah yang mereka menghadapi, pihak berkuasa Melaka mengeluarkan arahan agar misi menawan Naning dibatalkan. Padahal kedudukan mereka hanya 8 kilometer dari Tabuh.

   SEBAIK sahaja Kapten Wyllie mengundurkan diri, pasukan orang Melayu menggunakan peluang ini menyerang musuh. Pasukan Kapten Wyllie diserang hendap. Namun mereka berjaya tiba di Melekek.Orang Melayu terus melancarkan serangan ke atas pasukan British yang berehat di Melekek. Angkatan ini akhirnya tiba di Sungai Petai. Pada 11 Ogos 1831, pasukan orang Melayu melancarkan pula serangan keatas pasukan British di Sungai Petai pada waktu malam. Pasukan penyelamat dihantar ke Sungai Petai. Sebahagian daripada pasukan British bersama Kapten Wyllie berundur ke Melaka pada pukul 3.00 pagi dan tiba di Melaka pada 16 Ogos 1831.

   SEMENTARA itu pasukan British yang berada di Sungai Petai menunggu pasukan bantuan untuk berundur ke Melaka. Pasukan British ini terus diserang hendap oleh pasukan Penghulu Dol Said. Satu pasukan melebihi 100 orang dan dibantu oleh 120 orang salah di bawah pimpinan Kapten Hibgame dihantar ke Sungai Petai untuk membantu pengunduran. Pasukan ini bertolak dari Melaka pada 20 Ogos 1831 dan tiba di Sungai Petai pada hari yang sama. Pada 22 Ogos 1831, sebahagian lagi pasukan British berundur ke Melaka.

    KEMUDIAN satu pasukan bantuan lagi dihantar ke Sungai Petai untuk membantu pengunduran. Pasukan ini terdiri daripada 60 orang sepoi dan 50 orang salah di bawah pimpinan Leftenan Herlock. Mereka bertolak pada 23 Ogos 1831 dan tiba di Sungai Petai pada 24 Ogos 1831, pukul 8.00 pagi. Pada 24 Ogos 1831, pasukan British di Sungai Petai menerima arahan berundur. Dengan itu pada pukul 8.00 malam, 24 Ogos 1831 pasukan ini secara rahsia berundur ke Melaka. Pasukan orang Melayu terus melancarkan serangan hendap. Tetapi pasukan ini berjaya tiba di Melaka pada 25 Ogos 1831, pukul 6.00 pagi. Kini semua tentera British berada di Melaka setelah gagal dalam matlamat mereka menawan Tabuh. Kemaraan pasukan British pada 6 Ogos 1831 berakhir dengan kekalahan dan berundur ke Melaka pada 24 Ogos 1831.

   KEJAYAAN Penghulu Dol Said ini wajar diberi sanjungan. Pasukannya berjaya menumpaskan kuasa gergasi dunia pada ketika itu. Sebelum ini dalam perang yang berlangsung pada tahun 1824-1826, British berjaya mengalahkan Burma dan menguasai Hilir Burma. Kejayaan Penghulu Dol Said ini, selain daripada taktik peperangan, juga kerana sokongan dan bantuan yang diberikan oleh negeri Melayu jiran kepadanya. Di sinilah betapa bermakna kata-kata "bersatu teguh bercerai roboh". Kekalahan British dalam perang 1831 dengan Naning ini memberi tamparan hebat kepada maruah dan status sebagai kuasa ulung dunia pada ketika itu. Apatah lagi mereka menganggap Naning adalah sebuah negeri kecil Melayu dipedalaman Melaka. Oleh sebab itulah tanpa mengendahkan kebenaran dakwaan Penghulu Dol Said yang Naning bukan sebahagian daripada Melaka, mereka mengambil keputusan sekali lagi untuk melancarkan serangan ke atas Naning. Pihak British sebenarnya membuat penyelidikan ke atas rekod Belanda yang ada di Melaka dan mendapati dakwaan Penghulu Dol Said, Naning bukan sebahagian daripada Melaka adalah benar. Nampaknya bagi British kejatuhan maruah dan status lebih penting daripada kebenaran, kerana itulah mereka memutuskan melancarkan serangan kali kedua.

   BRITISH menyedari kekalahan mereka dalam perang Naning 1831, di antara lain disebabkan bantuan dari negeri jiran seperti Rembau. Dengan itu British membuat persiapan menjalin perjanjian dengan Rembau. Matlamat perjanjian ini memastikan Yamtuan Ali berkecuali dalam perang Naning dengan British. Gabenor R. Ibbetson bertemu Yamtuan Ali diSempang menandatangani perjanjian pada 20 Januari 1832.31 Diantara lain Yamtuan Ali akan mengundurkan tenteranya dari Naning dan membantu British. Di samping itu R.Ibbetson menghantar surat ugutan kepada Yang Dipertuan Seri Menanti, Datuk Kelana Sungai Ujong dan Penghulu Johol, menyatakan British akan menyerang Naning yang dianggap menderhaka kepada British dan tidak akan menyerang mereka sekiranya tidak membantu Naning. KINI British berjaya mengurangkan penyokong Naning dan memecahkan perpaduan di kalangan kaum Melayu. Ketiadan sokongan Rembau ini memang menjejaskan kekuatan Penghulu Dol Said. Namun begitu Naning tidak begitu mudah menyerah kalah. Mereka terus berjuang. Pasukan British kali ini lebih besar daripada dahulu. Kalau dahulu di bawah pimpinan seorang Kapten kini di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Herbert. R. Ibbetson yakin pasukan kali ini akan menjalankan tugas dengan baik.Kelengkapan mereka juga lebih daripada pasukan dahulu. Dengan matlamat yang sama seperti gerakan mereka pada tahun 1831, angkatan yang mara pada tahun 1832 ini ditugaskan untuk menangkap Penghulu Dol Said dan menawan Naning.

   WALAUPUN tanpa bantuan Rembau, Penghulu Dol Said dan orang Naning menghadapi kemaraan pasukan British dengan semangat perjuangan yang tinggi. Serangan hendap dan lari masih dilakukan oleh mereka. Begitu juga menghalang kelancaran gerakan pasukan British dengan menumbangkan pokok kayu menghalang jalan yang mungkin dilalui oleh pasukan British. Selain itu mereka juga menanam ranjau.

   DALAM bulan Januari 1832 British menyediakan satu angkatan yang lebih besar terdiri antara 1,200 hingga 1,400 orang di bawah Leftenan Kolonel Herbert. Selain itu pasukan ini dibantu oleh Kapten J. S. Wyllie (Briged Mejar), Leftenan J. H. Bell (Penguasa Jurutera), Kapten F. Bond (Pemerintah Pasukan Meriam), Leftenan Milnes (Pegawai Bekalan Makanan), dan Mejar P. Farquharson. Pasukan ini bergerak ke Naning pada 7 Februari 1832. Kemaraan pasukan British diserang oleh angkatan Penghulu Dol Said. Penghulu Dol Said dalam gerakannya ini mendapat sokongan daripada Endika, Petah Melayu, Pendekar Tambi, Mohamad, dan Had (Ahat). SEMENTARA itu perisytiharan diedarkan, mereka yang berjaya menangkap hidup atau mati Penghulu Dol Said pihak British akan menghadiahkan sebanyak $1,000.00 dan $200.00 tiaptiap seorang kepada pembesar Endika, Petah Melayu, Pendekar Tambi, Mohamad, dan Had. Perisytiharan ini diarahkan supaya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan seterusnya disebarkan kepada penduduk Naning. DALAM kempen ini pihak British menghadapi pelbagai halangan dan kemalangan. Misalnya pada 8 Mac 1832 tiga orang daripada angkatannya mengalami kecederaan kerana ditimpa pokok kayu. Kemudiannya dua orang lagi tercedera pada 9 Mac 1832. Pengikut-pengikut Penghulu Dol Said menggunakan perangkap ranjau untuk menghalang kemaraan tentera British. Di samping itu mereka juga menjalankan serangan hendap. Kerana ranjau beberapa orang tentera British mengalami kecederaan. Manakala dalam pertempuran pula, seorang terkorban terkena tembakan dijantung dan lima orang tercedera di pihak British.

   DALAM masa perjalanan ke Sungai Petai, pasukan Kompeni di bawah perintah Kapten Justice dan Leftenan Poole berjaya menawan enam buah kubu. Pasukan Kompeni seterusnya berjaya menangkap anak Petah Melayu. Kemudiannya dihantar ke Melaka untuk dipenjarakan. Ketika mara ke Naning, iaitu sehingga 29 Mac 1832, pihak Kompeni telah berjaya memusnahkan 23 kubu; dan seorang daripada pasukan kompeni terbunuh dan beberapa orang cedera. Pada 20 Mac 1832 tentera Kompeni berjaya lagi memusnahkan kubu pertahanan orang-orang Melayu. Pada 15 April 1832 angkatan Kompeni tiba di Alor Gajah. Dalam perjalanan ke Alor Gajah ini mereka diserang oleh orang-orang Melayu. Leftenan Harding terbunuh dan dihantar ke Melaka.

    PADA 5 Mei 1832 orang Melayu menyerang angkatan Kompeni. Dalam serangan ini Ensign Walker dari lima rejimen terbunuh. Leftenan Kolonel Herbert mengalami pelagai kesukaran dalam perjalanan ke Taboh. Disebabkan melalui hutan, paya, dan sawah Kompeni mengambil masa beberapa bulan untuk sampai ke Taboh. Kesukaran ini juga disebabkan mereka sering diserang oleh orang Melayu. Tambahan pula angkata orang Melayu pada masa ini melebihi 1,000 orang. Tetapi orang Melayu tidak mempunyai senjata yang lebih berkesan, kerana dari jumlah itu hanya separuh sahaja yang mempunyai senapang asak (musket). DALAM gerakan ini British mendapat bantuan Rembau yang dipimpin oleh Sayid Shaban. Pada 3 Mei 1832 Sayid Shaban bersama-sama pengikutnya menyerang dan memusnahkan kubu di Pangkalan Naning. Di samping itu Sayid Shahban dan pengikutnya membakar rumah-rumah kepunyaan orang-orang Melayu Naning. Sebanyak 19 buah rumah telah dibakar oleh Sayid Shaban. Dan di samping itu berjaya menangkap dua orang pengikut Penghulu Dol Said. Sayid Shaban seterusnya menyerang kubu di Bukit Seboosa (Bukit Busuk); tetapi kubu ini akhirnya dimusnahkan oleh tentera di bawah Kapten Justice, Leftenan Minto, dan Poole. Tentera-tentera Kompeni dan Sayid Shaban menerima tentangan daripada orang-orang Melayu di Buldt Seboosa. Pertempuran ini mengakibatkan beberapa orang daripada angkatan Kompeni mengalami kecederaan. Ketika bertahan di Bukit Seboosa Datuk Malalu atau Malalu Sultan yang memihak kepada Kompeni datang menemui pasukan Kompeni, dan mengatakan bahawa beliau tidak boleh bergerak cergas kerana keluarganya masih ada diTaboh. Sebenarnya Datuk Malalu bimbang keselamatan keluarganya. Kerana beliau menjangka kemungkinan Penghulu Dol Said akan mengambil tindakan ke atas keluarganya diTaboh sekiranya beliau bergerak secara terbuka menyokong pihak British.

   PERSIAPAN seterusnya dibuat untuk menyerang Taboh, ibu negeri Naning. Tentera di bawah Kapten Justice, Leftenan Minto, Leftenan Begbie, Leftenan Bell, Kapten Sinnock, Leftenan Kolonel Herbert, Kapten Wyllie, dan Kapten Bond bergerak ke Taboh. Serangan dibuat ke atas kubu Naning. Dalam pertempuran ini dua orang sepoi tercedera kerana terkena tembakan dan tiga orang lagi tercedera akibat terpijak ranjau. Pihak Penghulu Dol Said juga mengalami kecederaan. Pihak Kompeni mengalami kesukaran untuk menawan Taboh. Keadaan ini lebih ketara lagi kerana adanya serangan yang dibuat oleh Datuk Membangun dan Dua Suku Sebang. Tetapi serangan ini berakhir apabila Datuk Membangun dan Dua Suku Sebang ditangkap oleh Leftenan Milnes. Manakala Pendekar Tambi berjaya menyelamatkan diri.

   PIHAK Kompeni kemudiannya mendapat berita mengatakan bahawa Sultan Pahang dan Kelantan menyebelahi Penghulu Dol Said dan sanggup menghantar bekalan senjata dan panglima untuk mengatasi kemaraan angkatan Kompeni. Berita ini membimbangkan Kompeni. Seorang pengintip dihantar dan pulang melaporkan Sultan Kelantan dan Terengganu menafikan perkara itu.

   GERAKAN menawan Naning diteruskan. Pihak British meminta Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Penghulu Johol, dan Temenggung Muar menyekat anak buah masing-masing daripada membantu Penghulu Dol Said. Di samping itu British akan mengawal sungai Linggi, Muar, dan Kesang. Langkah ini diambil kerana pihak British mendapat tahu bahawa bekalan senjata dan bantuan-bantuan dihantar kepada Penghulu Dol Said melalui jalan ini. Oleh kerana tidak dapat bertahan lagi, Penghulu Dol Said bersama keluarga dan alat-alat kebesaran Naning berundur ke Chondong, Rembau dan kemudiannya berlindung di Gunung Pasir berhampiran Seri Menanti. Segala harta beliau dirampas oleh Kompeni. Manakala Empat Suku melarikan diri ke Sebang; seterusnya bersembunyi di negerinegeri jiran. Dua orang menteri, Melana Hakim dan Gampar menyelamatkan diri di Miko. Tentera Kompeni kemudiannya berjaya menduduki Taboh pada 15 Jun 1832. Di Taboh angkatan Kompeni menemui kembali dua meriam tembaga yang mereka tertinggal dalam perang tahun 1831 dahulu.

   KEKALAHAN Naning pada 15 Jun 1832 menyebabkan ia menjadi takluk Melaka. Sayid Shaban dihadiahkan wang sebanyak $500.00 dan sepucuk pistol bernilai $60.00 serta dilantik menjadi Yamtuan Muda Rembau. Residen Konsul Melaka Samuel Garling menghantar wang sejumlah $250.00 kepada Sayid Syaban untuk dibahagikan kepada pengikutpengikutnya kerana jasa mereka berkhidmat membantu tentera Kompeni. Pihak British meletakkan tentera Madras di Naning untuk mengawal keselamatan dan keamanan. DUA Kompeni sepoi diletakkan di Naning itu untuk menjaga keamanan dan menjamin penduduk daripada dipengaruhi oleh Penghulu Dol Said. Tujuh orang yang ditangkap British, Akhir Loman, Soman Panglima Besar, Haji Kadir, Sadin, Udin, Siah, dan Kemat dihantar ke Calcutta untuk dibicarakan. Sementara itu tawaran hadiah penangkapan Penghulu Dol Said dinaikkan daripada $1000.00 kepada $2000.00.60. Naning diletakkan di bawah pentadbiran J. B. Westerhout. Dikatakan Westerhout mempunyai pengaruh di kalangan orang-orang Melayu. PENGHULU Dol Said dan Empat Suku tidak akan lagi dilantik sebagai pemerintah Naning. Dalam bulan Oktober 1832 . Ibbetson melawat Naning dan seiringan ini beliau melantik lima belas orang Penghulu bagi mukim-mukim tertentu. Diantara susunan Penghulu-penghulu yang dilantik seperti Rajah 1di bawah ini.

Rajah 1 Nama Tempat-Senarai Penghulu Naning-Suku

  1. Ikan Lemak-Bilal Manja-Batu Belang
  2. Pikau-Mamat-Batu Belang
  3. Melekek-Maulana Sultan-Batu Belang
  4. Taboh-Safar-Semelenggang
  5. Lendu-Kiman-Tiga Batu
  6. Ayer Pa' Abas-Anak Melaka
  7. Berisu-Alaudin-Anak Melaka
  8. Sungai Siput-Laut-Semelenggang
  9. Penghulu Padang Sebang-Kuroh-Tiga Nenek
  10. Tanjung Rimau-Lengkar-Tiga Batu
  11. Pulau-Talib-Mungkar
  12. Kemuning-Udin-Semelenggang
  13. Batang Melaka-Kujal-Mungkal
  14. Tebong-Dul Kunchi-Biduanda

Sumber

Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, Hikayat Abdullah Jilid 2 (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1966), Shahbandar, Pesaka Naning,

   PENGHULU yang dilantik ini akan menjaga keamanan dan kemakmuran dalam mukim masing-masing. Sekiranya terdapat kes serius atau berat, maka ia hendaklah dibawa ke Melaka dan bukan lagi kepada Penghulu atau Empat Suku. Penghulupenghulu ini juga ditugaskan membantu kerajaan memungut hasil dalam kawasan masing-masing. Mereka tidak mendapat bayaran sebaliknya tanah dan hasil keluarannya dikecualikan daripada cukai.

   PENGHULU yang menyokong Dol Said dilucutkan jawatan oleh Ibbetson. Mereka ialah Datuk Membangun dari Suku Tiga Batu, Andika Maharaja dari Suku Anak Melaka, Raja Nangkaya dari Suku Semelenggang, dan akhirnya Orang Kaya Kedk dari Suku Mungka. Pada 27 Oktober 1832 Naning dimasukkan ke dalam peraturan Negeri-negeri Selat dan di bawah pentadbiran Westerhout. Dalam bulan November 1832 Westerhout dilantik oleh R. Ibbetson dan Samuel Garling menjadi pemerintah Naning. Undang-undang tanah yang sebelum ini dijalankan di Melaka kini dikuatkuasakan di Naning.

   PENGHULU Dol Said kemudiannya datang menyerah diri dari Seri Menanti pada 4 Februari 1833 kepada J. B.Westerhout. Westerhout seterusnya membawa Penghulu Dol Said ke Melaka menemui Samuel Garling. Penghulu Dol Said masih dihormati oleh keseluruhan penduduk Naning. S. G.Bonham mengesyorkan agar Penghulu Said ditempatkan di Melaka untuk menjamin keselamatan umum.Semasa berada di Melaka Penghulu Dol Said diberikan pencen dan sebuah rumah. Tetapi Penghulu Dol Said merasa tidak puas hati dengan pemberian pencen. Pihak British menaikkan pencen beliau daripada 30 rupi kepada 100 rupi sebulan selagi beliau masih hidup dan tidak menentang British atau cuba melarikan diri. Semasa berada di Melaka Penghulu Dol Said menjadi dukun, dan beliau dihormati oleh penduduki di situ. Penghulu Dol Said meninggal dunia dalam bulan Ogos 1849. Perang Naning ini berjalan selama seratus lima belas hari dan menelan belanja sebanyak 100,000 paun.

PENILAIAN

   MULAI penjajahan Portugis, diikuti oleh Belanda dan British, penduduk Melaka mencetuskan tentangan. Semangat perjuangan yang dirintis oleh Melaka melalui tentangan terhadap Portugis, Belanda, dan British menjadikan Melaka negeri terawal menentang kuasa penjajah. Walaupun dalam sejarah perjuangan orang Melayu Melaka mencatat beberapa kemenangan dalam pertempuran dengan kuasa Barat, kejayaan
Penghulu Dol Said menentang British pada tahun 1831 sangat bermakna. Sebuah negeri Melayu yang dianggap kecil oleh Kompeni Hindia Timur berjaya mengalahkan British, pada ketika itu sebuah kuasa terkuat di dunia.